6 Sebab Calon Masih Tidak Mendapat Panggilan SPA

  • Post category:Karier

Bekerja dalam Perkhidmatan Awam adalah impian ramai individu. Namun, mendapatkan tawaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mengikuti ujian dan temuduga bukanlah perkara mudah, dan tidak semua berpeluang menerima tawaran ini.

Dalam kekosongan jawatan yang ditawarkan, hanya sebilangan kecil calon akan dipilih untuk menduduki ujian khas sebelum dipanggil untuk temuduga. Proses ini sangat kompetitif dan memerlukan persediaan rapi serta pemahaman mendalam tentang keperluan jawatan yang dipohon.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa, setelah sekian lama memohon jawatan dalam Sistem SPA9, masih belum menerima sebarang panggilan. Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa situasi ini berlaku:

1. Tiada Kekosongan Jawatan yang Dipohon

Sebelum mengisi permohonan dalam sistem SPA8i, adalah penting untuk menyemak sama ada jawatan yang dipohon mempunyai kekosongan atau tidak. Ramai calon hanya mengisi jawatan yang disenaraikan tanpa memastikan kekosongannya. Anda boleh menyemak jawatan terkini yang mempunyai kekosongan di Portal Rasmi SPA. Jawatan akan dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kekosongan yang ada.

2. Tidak Mengemaskini Jawatan yang Dipohon

Ramai calon lalai atau terlupa untuk mengemaskini maklumat jawatan yang dipohon dalam sistem SPA8i. Kekosongan jawatan dalam Perkhidmatan Awam sentiasa berubah. Oleh itu, adalah penting untuk rajin membuka SPA dan mengemaskini permohonan jawatan anda. Pastikan anda memasukkan jawatan yang mempunyai kekosongan dalam senarai jawatan yang dipohon. Jika tidak, kemungkinan jawatan yang anda mohon masih tiada kekosongan, menyebabkan anda tidak dipanggil.

3. Tidak Melepasi Syarat yang Ditetapkan

Antara sebab utama pemohon tidak berjaya dalam urusan panggilan temuduga adalah kerana tidak melepasi asas tapisan semasa, iaitu syarat kelayakan yang ditetapkan oleh SPA berdasarkan jawatan yang dipohon. Contohnya, bagi permohonan latihan separa perubatan, pihak SPA mengutamakan pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik bagi mendapatkan calon-calon yang bersesuaian serta berkebolehan untuk mengikuti latihan tersebut. Oleh itu, penting untuk anda menyemak syarat kelayakan terlebih dahulu.

4. Permohonan Tidak Lengkap

Untuk memastikan anda ditawarkan kekosongan jawatan oleh SPA, sangat penting untuk melengkapkan permohonan anda. Jika anda rasa anda sudah melakukan perkara di atas, tetapi masih tiada panggilan jawatan SPA, cuba semak semula maklumat permohonan anda di portal SPA8i. Pastikan maklumat peribadi, akademik, kokurikulum, tambahan, dan permohonan anda lengkap. Jangan lupa untuk mengesahkan permohonan anda supaya ia dihantar dengan sempurna. Permohonan yang tidak lengkap akan menyebabkan kegagalan pendaftaran dalam bank data SPA.

5. Permohonan Luput Tempoh Sah Laku

Bagi yang sudah lama tidak membuka akaun SPA, semak sama ada permohonan terdahulu masih dalam tempoh sah laku. Tempoh sah laku sesuatu permohonan adalah selama satu tahun selepas permohonan dibuat. Jika permohonan anda sudah melepasi tempoh sah laku, tidak hairanlah jika anda masih tidak mendapat tawaran. Cuba periksa semula sekarang!

6. Jawatan Dipohon Tidak Sesuai dengan Kelulusan Akademik

Setiap calon mestilah memastikan gred jawatan yang dipohon sesuai dengan kelulusan akademik. Contohnya, bagi lepasan SPM, boleh menyemak senarai jawatan kerajaan SPA yang boleh dipohon dengan kelulusan SPM. Maklumat mengenai kesesuaian jawatan yang dipohon dengan kelulusan akademik boleh didapati di ruangan Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Jawatan). Pemohon yang memiliki ijazah dibenarkan memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk lebih rendah, walau bagaimanapun hanya sehingga peringkat Diploma/STP/STPM/STAM/HSC sahaja (satu tahap lebih rendah).

Bilakah Calon Akan Dipanggil Temuduga?

Semua pemohon yang telah berdaftar dengan SPA akan dipertimbangkan panggilan temuduga sekiranya:

  1. Terdapat kekosongan jawatan yang dipohon.

  2. Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon.

  3. Melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan.

Pastikan anda memenuhi semua kriteria di atas untuk meningkatkan peluang dipanggil temuduga oleh SPA.