You are currently viewing 9 Tingkah Laku Orang Yang Iri Dan Dengki.

9 Tingkah Laku Orang Yang Iri Dan Dengki.

  • Post category:Karier

Bagi orang bisnes yang masih baru, tingkah laku orang yang iri dan dengki boleh mengganggu emosi dan kehidupannya.

Mereka boleh mengalami stress dan gangguan fikiran apabila mendapat tahu ada orang yang sama-sama dalam bisnes mengata dan mengumpat di belakangnya.
Menurut pakar-pakar psikologi, di bawah ini adalah antara tingkah laku orang yang iri dan dengki terhadap kejayaan orang lain:

1. Mereka itu memuji orang yang dicemburuinya, tetapi pujian mereka itu palsu dan pura-pura sahaja.
Mereka bermuka-muka. Di depan kita dia puji, di belakang kita dia keji.
Di depan kita dia berkata. “Tahniah!” tetapi di belakang kita dia mencemuh.

2. Mereka merendah-rendahkan pencapaian dan kejayaan orang yang dicemburuinya.
Contohnya, kita bekerja berhempas-pulas sampai berjaya, tetapi mereka mengatakan kejayaan kita itu bukan perkara susah sangat pun, semua orang pun boleh buat, soalnya hendak tak hendak saja.

3. Mereka menunjuk-nunjuk pencapaian dan kejayaan mereka sendiri.
Pakar-pakar psikologi mengatakan individu-individu yang iri dan dengki sebenarnya kurang yakin pada kemampuan mereka sendiri.
Mereka sangat mahukan diri mereka dipandang sebagai orang yang berjaya. Salah satu cara yang mereka lakukan adalah dengan menunjuk-nunjuk. Istilah, self-promotion.
Dengan menunjuk-nunjuk itu mereka mengharapkan orang-orang yakin bahawa dia seorang yang berjaya.

4. Mereka meniru-niru perkara yang dibuat oleh orang yang dicemburuinya.
Contohnya, apabila orang yang dicemburuinya mengeluarkan produk kecantikan dengan labelnya sendiri, dia pun mengeluarkan produk kecantikan dengan labelnya sendiri juga.
Apabila orang yang dicemburuinya membeli kereta baru, dia pun membeli kereta baru juga.
5. Mereka sentiasa cuba menyaingi dan mengalahkan orang yang dicemburuinya.

6. Mereka bukan main seronok dan puas hati apabila mendapat tahu bisnes orang dicemburuinya mengalami masalah ataupun gagal.

7. Mereka mengata dan mengumpat di belakang orang yang dicemburui. Malah ada masanya mereka sanggup berbohong, memfitnah, dan menuduh perkara yang tidak benar.

8. Mereka meluat dan membenci apabila tengok orang yang dicemburuinya bekerja keras, tekun, dan cekal.

9. Mereka benci pada orang-orang lain yang lebih berjaya, lebih beruntung, yang nasibnya lebih bagus dibandingkan dirinya.
Sarah Schewitz, seorang pakar psikologi menerangkan faktor-faktor yang boleh menimbulkan perasaan iri dan dengki.
Perasaan iri dan dengki boleh timbul apabila dia tengok orang lain lebih daripada dirinya dari segi:

  1. Kejayaan.
    Contoh: Dia iri tengok bisnes orang itu lebih berjaya, dengan jualan produknya lebih laku keras.
  2. Harta benda yang dimilikinya.
    Contoh: Dia iri tengok orang itu sudah mampu membeli kereta baru yang cantik dan mahal.
  3. Ciri-ciri personalitinya.
    Contoh: Dia iri tengok orang itu pandai bercakap dan berlakon dalam YouTube, padahal orang itu bukan cantik sangat pun, tapi channelnya amat popular dengan jumlah subscribers beratus-ratus ribu orang, dan pendapatannya berpuluh ribu ringgit sebulan.
  4. Rupa paras dan penampilannya.
    Contoh: Dia iri tengok orang itu lebih slim, lebih manis, lebih cantik, lebih anggun.
  5. Hubungan kebahagiaan dan kasih sayangnya.
    Contoh: Dia iri tengok orang itu hidup gembira dan mempunyai suami yang lebih bagus jawatannya.

Apakah perasaan yang dialami oleh seseorang yang iri dan dengki?

Menurut Sarah Schewitz, individu yang iri dan dengki mengalami perasaan di bawah ini:
i. Dia mengalami rasa sakit dalam jiwanya. Dadanya terasa berat. Hatinya resah, tidak tenteram.
ii. Dia rasa benci kepada orang yang dia iri dan dengki. Dia menyampah, dia meluat tengok muka orang itu. Mendengar nama orang itu disebut pun telinganya sudah sakit.
iii. Dia ingin memiliki apa yang dimiliki oleh orang itu.
iv. Dia mahu supaya orang itu tidak lagi memiliki perkara itu. Contohnya, jika orang itu kurus dia mahu tengok orang itu gemuk, jika orang itu bahagia dia mahu tengok orang itu tidak bahagia.

Pakar-pakar psikologi menasihati supaya kita abaikan cakap-cakap dan perbuatan buruk individu-individu yang dengki dan iri hati itu.
Fokuskan masa, fikiran, dan tenaga pada kerja-kerja dan kejayaan kita. Anggap kehadiran orang-orang itu tidak penting dalam kehidupan kita.